Faye Kusairi dalam dilema untuk meneruskan saman terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung laporan khalwat palsu di rumahnya tahun lalu.

Pelakon “Istikharah Cinta” itu cukup tidak berpuas hati dengan jabatan tersebut yang menyerbu rumahnya April lalu susulan laporan beliau berkhalwat dengan suami orang.

Namun serbuan itu menimbulkan masalah, selain jeriji pintu utama dipecah, apabila Faye didapati tidak berada di rumahnya di Bukit Antarabangsa dekat Kuala Lumpur.

Diminta mengulas hasratnya menyaman Jais, Faye berkata masanya yang terhad kerana sibuk dengan lakonan menyukarkannya memberi komitmen untuk menfail kes tersebut.

“Kes Jais masih tergantung, saya tidak dapat berjumpa lagi dengan peguam meskipun berkali-kali dihubungi peguam,” katanya kepada ProjekMMO minggu lalu.

“Namun masalahnya, susah [saya] hendak cari tarikh. Memang perkara ini penting namun kerja saya juga penting. Saya kena fikir orang lain juga, masa artis lain dalam produksi.”

Faye, nama glamor Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, bagaimanapun serba salah untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang itu.

“Memang saya hendak lawan, bukan untuk diri saya semata-mata, namun tidak mahu ada [orang lain] yang mempunyai nasib sama macam saya.

“Itu masalahnya kerana segalanya serentak, ada rasa hendak putus asa tetapi kena fikir orang lain juga, ibu-bapa, dan bapa saya selalu bertanya akan kes itu,” katanya.

Faye ditemui semasa majlis meraikan kejayaan drama bersiri “7 Hari Mencintaiku” di TV3 yang mendapat jumlah tontonan paling tinggi, sebanyak 12 juta.

Beliau memegang watak Syakila, pembantu klinik yang cuba merampas cinta Dr Khuzairi (lakonan Syukri Yahaya) daripada Mia Adriana (Siti Saleha).

Drama itu diadaptasi daripada novel popular dengan judul yang sama.

LEAVE A REPLY