Saintis Britain semakin hampir menemui penawar bagi HIV, virus yang membawa kepada penyakit AIDS, jika percubaan rawatan baru terbukti berjaya.

Seorang lelaki Britain dengan HIV berharap menjadi pesakit pertama di dunia dipulihkan daripada penyakit itu dengan menggunakan terapi perintis baru yang dicipta untuk menghapuskan virus berkenaan, lapor akhbar The Sunday Times.

Pesakit berusia 44 tahun itu adalah yang pertama daripada 50 orang yang menamatkan percubaan rawatan berkenaan, dicipta oleh saintis dan doktor dari lima universiti terkemuka di Britain iaitu Universiti Oxford, Universiti Cambridge, Imperial College London, University College London dan King’s College London.

Ini adalah terapi pertama dicipta untuk mengesan dan memusnahkan HIV dalam setiap bahagian tubuh, termasuk sel aktif yang mengelakkan rawatan terkini.

Jika berjaya, ia memberikan harapan penawar bagi HIV dan boleh menyelamatkan jutaan pound yang dihabiskan untuk ubat.

Ujian awal menunjukkan virus berkenaan tidak dapat dikesan dalam darah lelaki berkenaan.

Namun beliau perlu menunggu beberapa bulan sebelum pengesahan mengenai sama ada rawatan itu dapat menghapuskan penyakit itu secara kekal.

Pengarah Urusan Institut Pejabat Penyelidikan Kesihatan Kebangsaan bagi Infrastruktur Penyelidikan Klinikal, yang menubuhkan konsortium perubatan itu, Mark Samuels, memberitahu akhbar berkenaan: “Ini adalah antara cubaan serius pertama untuk menyembuhkan HIV sepenuhnya. Kami meneroka kemungkinan mengubati HIV.

“Ini cabaran besar dan masih terlalu awal tetapi kemajuannya mengagumkan.”

LEAVE A REPLY