PETALING JAYA: ”Hasil laporan rawatan anak saya, Muhammad Emran (Amir Hairil Eianur) yang dikeluarkan hospital kerajaan mendapati terdapat kesan lebam di bahagian tengkuk akibat hentakan.”

Demikian luahan ibu mangsa, Zuria Salmi Nik Mat, 36, dalam nada sebak ketika ditanya mengenai dakwaan kononnya anaknya mengalami penyakit beguk.

Zuria menegaskan lebam di tengkuk Muhammad Emran, 8, adalah akibat ditampar guru di sekolahnya, minggu lalu.

Katanya, anaknya diberi cuti sakit dari Selasa lalu hingga hari ini dan berada dalam keadaan trauma sehingga tidak mahu meneruskan sesi pembelajaran di sekolah terbabit.

Sehubungan itu, dia akan menemui guru besar sekolah itu minggu depan untuk menguruskan proses pertukaran sekolah demi masa depan anaknya.

“Saya uruskan semua perkara itu secara profesional dengan guru besar terbabit, saya ada tiga anak bersekolah di situ dan Muhammad Emran yang bongsu.

“Saya berhasrat untuk menukarkan sekolah dua anak saya termasuk kakak Emran, Sarah Nur Saffiyah, 10, yang berada di bawah jagaan saya.

“Yang sulung, Muhammad Syaheed Adib, 12, berada di bawah jagaan bekas suami, maka itu terserah kepada dia untuk mengambil keputusan terbaik berhubung isu berbangkit.

“Pada masa sama, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan termasuk yang memfitnah saya bagi membersihkan nama saya dan ahli keluarga lain,” katanya pada sidang media di sebuah restoran, di sini, hari ini.

Selain itu, Zuria berkata dia mendapat maklumat daripada seorang pengguna Facebook yang juga dipercayai kakitangan di sekolah itu bahawa Emran antara empat murid yang ditampar guru berkenaan.

“Saya terkejut kerana anak saya dan tiga yang lain ditampar kerana membuat bising di kawasan tangga sekolah.

“Ada situasi anak saya nakal, itu tidak dinafikan, malah saya galakkan dia ditegur dan dimarahi guru sekolah itu, namun hukuman yang diberikan perlu setimpal.

“Jangan sesekali aniaya anak orang, luluh hati seorang ibu mengetahui anaknya cedera ditampar guru,” katanya.

Kelmarin, polis mengambil keterangan guru yang didakwa menampar seorang murid tahun dua hingga cedera di bahagian tengkuk kanannya.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata berdasarkan laporan polis dibuat guru itu, dia menafikan lebam itu akibat ditampar sebaliknya kesan itu dipercayai akibat penyakit beguk.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.