KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah, Sabri Yunus mempatenkan nama Pok Ya Cong Codei bagi mengelakkan jenama telefilem berkenaan daripada dimanipulasikan individu tidak bertanggungjawab.

Sabri Yunus atau nama sebenarnya, Mohd Sabri Yunus, 57, berkata, tujuan beliau berbuat demikian bukanlah untuk menutup periuk nasi orang lain namun lebih kepada menjaga hak ekslusif jenama itu supaya tidak disalah guna oleh mana-mana pihak.

“Saya tidak mempunyai masalah andai syarikat-syarikat kecil menjual produk atas nama Pok Ya Cong Codei. Kalau setakat jual kopi tepi jalan guna jenama itu, saya okey dan saya anggap itu rezeki mereka.

“Namun andai sudah mengaut keuntungan besar atas jenama yang saya bangunkan ini, saya perlu buat sesuatu tentangnya untuk menjaga nama saya dan hak juga,” katanya ketika ditemui Kosmo! sebentar tadi.

Kata Sabri lagi, beliau sudah mendapat hak paten sejak sebulan lalu.

“Saya dibantu anak saya untuk urusan ini.

“Insya-Allah, kalau tiada aral melintang tidak lama lagi saya sendiri akan mengeluarkan produk atas nama Pok Ya Cong Codei. Masih lagi dalam perancangan dan semoga segalanya dipermudahkan,” kata Sabri.

Sabri Yunus mempatenkan nama Pok Ya Cong Codei bagi menjaga hak ekslusif jenama itu supaya tidak disalah guna oleh mana-mana pihak.

Dalam pada itu, pelakon kelahiran Pengkalan Chepa, Kelantan tersebut dilantik sebagai duta Umrah Congcodei oleh syarikat Richworld Travel & Tours Sdn. Bhd.

Melalui pakej 12 hari 10 malam berkenaan yang akan dijual pada harga bermula RM5,450 itu, para jemaah akan menetap di hotel Concorde di Madinah dan Mekah.

Rombongan umrah dijangka berangkat pada musim haji sekitar bulan Oktober dengan kira-kira 1,000 orang jemaah.

Sabri turut berkongsi beliau sudah siap menjalani penggambaran drama Pok Ya Cong Codei versi tayangan Hari Raya Aidilfitri. – K! ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.