GEORGETOWN – Kerajaan tidak akan mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat malah akan memperbaiki taraf kehidupan semua kaum semampu mungkin.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perubahan sedang dilakukan ketika ini dengan pelbagai perancangan yang telah direncana dan dilaksana bagi kebaikan rakyat.

Hanya satu permintaan beliau kepada rakyat agar kerajaan dapat mengembalikan kegemilangan jenama Malaysia selaku ‘Asian Tiger’.

“Hanya yang kita minta ialah kesabaran, kesabaran dari rakyat, dari jentera kerajaan dan anggota kerajaan. Kita tidak dapat tabur duit percuma kerana kita tidak ingin menyalahguna kuasa yang diberi kepada kita sebagai kerajaan.

“Kita juga tidak akan tipu dan menubuh syarikat untuk selewengkan wang yang dihutang olehnya, tetapi percayalah apabila kita majukan negara, rakyat akan dapat bukan sahaja nikmat dari pembangunan tetapi nikmat dari peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan,” tegas Dr Mahathir semasa berucap ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Padang Kota Lama, Pulau Pinang malam tadi.

Beliau juga merungkai makna sambutan kemerdekaan yang perlu dirai oleh rakyat Malaysia serta menjiwai semangatnya dengan mencintai Malaysia.

“Bersamalah kita bangun tegap dengan bangganya untuk ‘Sayangi Malaysiaku’ kerana negara Malaysia adalah kita punya,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.