Kementerian kewangan menegaskan pelantikan Petron Malaysia sebagai salah satu pembekal minyak kenderaan kerajaan dibuat tanpa campur tangan politik.

“Pelantikan ke dalam panel ini adalah telus dan tidak berkaitan dengan mana-mana individu yang terlibat dalam politik.

“Perkara ini sama sekali tidak dirujuk kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Keputusan (memilih Petron) dibuat secara pentadbiran untuk perjalanan urusan operasi,” kata kementerian kewangan dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu bagi menjawab dakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa perkara itu menimbulkan konflik moral dan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa ia mengingatkan rakyat Malaysia kepada amalan nepotisme kerajaan lalu.

Ia berikutan kedudukan anak Mahathir, Mirzan, sebagai pengarah dan pemegang saham Petron Corporation. Petron Malaysia bagaimanapun telah menjelaskan beberapa tahun lalu bahawa beliau tiada sebarang saham atau peranan dalam operasi syarikat itu di Malaysia.

Menyifatkan kritikan Najib dan Tuan Ibrahim sebagai tidak berasas, kementerian kewangan berkata rundingan dengan Petron telah bermula sejak dua tahun lalu, iaitu ketika Najib masih menjadi perdana menteri.

“Petron telah membuat permohonan pada 2016 dan pada Disember 2017, syarikat itu bersetuju untuk memberikan kerajaan persekutuan penjimatan kecil melalui program kad indennya.

“Rundingan yang bermula di bawah pimpinan Najib menunjukkan bahawa kerajaan terdahulu tiada halangan menimbang permohonan Petron, dan kerajaan baru hanyalah meneruskan proses dalaman mengikut panduan sedia ada,” kata kementerian kewangan lagi.

Najib sebelum ini turut menyatakan pelantikan Petron itu akan menjejaskan Petronas selaku syarikat minyak milik negara.

Selain Petronas dan kini Petron, Shell juga merupakan pembekal petrol dan diesel untuk kenderaan kerajaan sejak 1997.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.