KIRA-KIRA RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Demikian dakwaan seorang ahli Jawatankuasa Pembaharuan Peralihan Institusi di bawah Majlis Penasihat Kerajaan, Datuk A. Kadir Jasin menerusi catatan dalam blog peribadinya.

Kenyataan Kadir yang disifatkan tidak mewakili pandangan Majlis Penasihat Kerajaan dianggotainya itu mendakwa purata RM16 juta sebulan dibelanjakan oleh Agong yang meliputi penginapan, kediaman, barangan peribadi, pengangkutan dan pelbagai lagi perbelanjaan lain.

Kadir berkata, jumlah yang dibelanjakan untuk perbelanjaan Agong menunjukkan raja Melayu tidak memerlukan jaminan kedudukan mereka tidak terjejas.

“Saya tidak berani kata raja-raja tidak begitu yakin dengan kedudukan mereka sehingga mereka perlu diberikan jaminan dan ditenangkan.

“Sebaliknya, saya rasa raja-raja yakin seperti sebelum ini. Mengapa tidak? Mereka dijamin oleh Perlembagaan, diberikan kemewahan, kaya dan Anwar pun mencium tangan mereka,” tulis Kadir yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Kadir bagaimanapun tidak mendedahkan sumber data perbelanjaan itu diperolehi namun beliau memberitahu kerajaan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM13.5 juta setahun untuk perbelanjaan setahun Agong.

Katanya, seperti rakyat di negara ini, Agong juga terikat dengan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.

Biarpun Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara, namun undang-undang menyatakan bahawa Agong mempunyai kuasa tertentu.

“Perlembagaaan yang boleh jamin dan jatuhkan kuasa ke atas golongan pengemis di Chow Kit, sama juga dengan hak keistimewaan Agong yang menetap di istana negara berharga RM650 juta,” katanya.

Beliau juga menyatakan Perlembagaan Persekutuan yang telah dipinda pada tahun 1993 bagi memperjelaskan sejauh mana kekebalan Raja-Raja dikategorikan sebagai langkah yang diambil untuk ‘pertahankan institusi di raja’. – MYNEWSHUB.CC

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.