Seremban – Seorang remaja perempuan sanggup menyorok bawah tilam di atas katil bagi mengelak dia dikesan pihak berkuasa kerana berdua-duaan dengan pasangan lelaki bukan muhrim di sebuah hotel bajet di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, remaja berusia 18 tahun panik apabila pintu bilik yang disewa, diketuk penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), lalu bertindak menyorok antara dua tilam atas katil bilik berkenaan.

Dia bersama teman lelakinya berusia 20 tahun dikatakan mendaftar masuk ke hotel berkenaan kira-kira jam 12. 50 tengah malam.

Malah, dia memberi alasan kepada penguat kuasa yang dia ke situ kerana mahu tidur sahaja, walaupun rumahnya di Seremban 2.

Bagaimanapun, sebaik diminta menghubungi ibu bapanya supaya hadir ke pejabat penguat kuasa JHEAINS, dia kelihatan tergamam.

Remaja perempuan sanggup sembunyi bawah tilam untuk elak dicekup kerana berkhalwat.

Ketua Unit Bahagian Penguatkuasa JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, pasangan terbabit antara 12 yang ditahan dalam Op Mawar Hitam di beberapa buah hotel bajet di daerah ini dan Senawang bermula jam 10 malam sehingga 6 pagi.

Menurutnya, kesemua pasangan berusia antara 18 hingga 20-an itu ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 61(1) iaitu percubaan melakukan persetubuhan haram.

“Pada masa sama kita turut membuat pemeriksaan di lima buah pusat karaoke dan hasilnya satu pasangan berusia 30-an telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 78 Enakmen Jenayah Syariah 1992 kerana minum minuman memabukkan.

“Kesemua mereka dibawa ke bahagian penguatkuasaan untuk tindakan lanjut dan bagi kesalahan mengikut Seksyen 61(1) jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya di sini, semalam.

Ahmad Zaki berkata, operasi itu diadakan bertujuan bagi membendung gejala negatif yang sering berlaku terutama sempena sambutan 14 Februari atau Hari Valentine.

Beliau berkata, walaupun ada segelintir masyarakat beranggapan perbuatan itu dilakukan secara suka sama suka atau sukarela, tetapi ia akan mengundang kesan yang lebih teruk pada masa hadapan.

“Dari perbuatan seperti inilah boleh mengundang kepada kesalahan lebih berat seperti membunuh atau membuang bayi yang tidak berdosa.

“Kita akui nak mengekang perbuatan ini seratus peratus sukar, tapi kita nak masyarakat sedar supaya tak lakukan perbuatan yang melanggar hukum syarak. Kepada ibu bapa prihatinlah dengan pergerakan anak-anak, jangan beri kebebasan sepenuhnya,” katanya.

LEAVE A REPLY