Remaja lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas berikutan kain kakaknya terbelit pada rantai dan gegancu (sprocket) belakang.

Muhammad Amirullah Halim, 16, maut di tempat kejadian di Kampung Labok, kira-kira 6.35 petang.

Kakaknya, Norfatin Akila, 21, yang membonceng motosikal cedera di jari tangan, pipi, dahi dan kaki.

Mayat arwah dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani, berkata ketika kejadian mereka bergerak dari arah Labok menghala ke Banggol Judah.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kain kakaknya terbelit pada rantai dan gegancu belakang.

“Akibatnya, motosikal terbabas sebelum kedua-dua mangsa terjatuh.

“Penunggang maut di tempat kejadian manakala kakaknya cedera,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY