Remaja perempuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas tuduhan menyebabkan kematian anak baru dilahirnya.

Tertuduh Nuruljannah Azalan, 18, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh bayi perempuan dengan menutup mulut dan membalutnya dengan tilam toto.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di rumah di Bukit Palah, di sini, 6 pagi 20 September lalu.

Dia yang memakai baju T merah didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirhu Samsuddin tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Andrew Lourdes merayu agar anak guamnya dibenarkan diikat jamin dengan alasan dia masih remaja.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15, 000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 27 Oktober depan untuk tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.

LEAVE A REPLY