Seorang pelajar tingkatan empat patah kaki kiri setelah berjaya menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa rogol pada 11 pagi semalam.

Ketua Polis Miri ACP Khoo Leng Huat berkata remaja perempuan berusia 16 tahun itu patah kaki kerana melompat dari kereta yang ditumpangi bersama dengan dua lelaki lain semalam.

“Semasa kejadian, hanya ada dua suspek dan mangsa di dalam kereta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata seorang daripada suspek duduk bersama dengan mangsa di belakang kereta dan seorang lagi suspek memandu ke arah Batu 1 Baram dan enggan menghantar mangsa balik ke rumah.

Beliau berkata semasa dalam perjalanan tersebut, suspek yang duduk bersama dengan mangsa di belakang kereta mula mengganggu mangsa.

“Mangsa membuat pilihan terjun dari kereta yang sedang bergerak menyebabkan mangsa mengalami kecederaan,” katanya.

Khoo berkata kedua-dua suspek menghantar mangsa ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan.

“Doktor yang merawat mengesahkan mangsa mengalami patah tulang kaki kiri dan calar di kedua-dua belah tangan,” katanya.

Beliau berkata ibu mangsa berusia 37 tahun telah dimaklumkan mengenai kecederaan anaknya dan telah membuat laporan polis.

Beliau berkata kedua-dua suspek kini sedang diburu dan dipercayai bekas pelajar sebuah sekolah menengah di sini.

LEAVE A REPLY