Pengarah, timbalan direman penyelewengan RM3.3b: Pengarah dan Timbalan Pengarah sebuah jabatan kerajaan di Sabah direman tujuh hari mulai hari ini, berhubung penyalahgunaan kuasa membabitkan pengagihan projek bernilai lebih RM3.3 bilion.

Turut direman ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, kira-kira jam 2.30 petang tadi ialah abang timbalan pengarah bergelar Datuk berumur 55 tahun dan akauntan berusia 50 tahun.

Mereka ditahan berhubung kes penyalahgunaan kuasa bagi projek pembinaan infrastruktur asas bernilai lebih RM3.3 bilion di Sabah sejak tahun 2010.

Semalam, pengarah dan timbalan pengarah berumur 54 dan 51 tahun ditahan di pejabat masing-masing pada jam 9.15 pagi kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan memonopoli dan memberi projek jabatan kepada sanak-saudara mereka.

Berikutan penahanan itu, SPRM menyita wang tunai lebih RM10 juta yang ditemui disembunyikan dalam rumah, pejabat dan kenderaan milik suspek.

Sebahagian daripada wang tunai iaitu kira-kira RM3 juta ditemui dalam peti besi di pejabat seorang daripada suspek, manakala selebihnya susulan penggeledahan di rumah dan kenderaan.

Siasatan awal SPRM mempercayai mereka mengumpul kekayaan melebihi RM50 juta.

LEAVE A REPLY