Bekas pegawai di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dihukum penjara tiga tahun dan denda RM9.25 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan meminta dan memperoleh suapan bagi projek kemasyarakatan kerajaan melibatkan RM18.5 juta.

Hakim Allaudeen Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Hazmi Samsudin, 41, yang bertugas sebagai penolong pegawai di unit Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kementerian berkenaan ketika kejadian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Walau bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan selesai.

Hazmi didakwa meminta suapan bagi projek kemasyarakatan 1Azam bagi menaik taraf dan membaik pulih balai raya, dewan masyarakat, surau dan masjid membabitkan 10 peratus daripada nilai keseluruhan projek hampir RM18 juta daripada empat individu bernama Zainal Arifin Lahuri, Zamzuri Abdullah, Fadzil Anuar Ahmad dan Mohd. Khairil Isma Abdullah Bacha.

Ia sebagai dorongan untuk mendapatkan persetujuan ketua setiausaha KPWKM melantik kontraktor Kelas F tempatan untuk melaksanakan projek itu.

Hazmi didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan PH 2, Putra Heights, Sungai Merab Luar, Bandar Baru Bangi, Hulu Langat, Selangor, pada hujung 2010.

Dia turut didakwa enam pertuduhan memperoleh suapan 10 peratus daripada setiap enam projek kerajaan melalui enam syarikat berlainan dengan perantaraan seorang individu bernama Zainal Arifin.

Dia didakwa menerima sogokan secara keseluruhan berjumlah RM596,628 di sini antara Mei dan Jun 2011.

LEAVE A REPLY