Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam hari ini ditempelak ekoran dakwaan melulu menuduh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad kononnya diperkudakan oleh DAP.

Lebih menyedihkan, Lokman terus mengulang skrip lapuk UMNO sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu yang mendakwa Pakatan Harapan dikuasai oleh DAP.

Menurut Ahli Dewan Negeri (Adun) Bandar Utama Jalmaliah Jamaluddin, dakwaan jahat sedemikian semata-mata bersifat perkauman dan dapat memecah belahkan perpaduan rakyat pelbagai kaum negara ini.

“Hanya dengan memetik nama saudara Lim Guan Eng dan saudara Gobind Singh Deo, sudah cukup untuk Lokman Adam melemparkan tohmahan bahawa DAP ini memperalatkan Tun Dr Mahathir.

“Dalam negara Malaysia yang asasnya dari pelbagai kaum, agama dan memperaktik pelbagai budaya, adakah terlalu melampau sekiranya kepelbagaian ini diraikan dan ditonjolkan dalam struktur pemerintahan?

“Apakah kita perlu duduk di takuk lama sebagaimana kepimpinan UMNO BN dahulu yang majoriti menteri dan timbalan menterinya Melayu dan bermain api dengan sentimen perkauman? Yang menimbulkan kebencian antara kaum melalui himpunan parti-parti komponen?” soal Jamaliah dalam kenyataan hari ini.

Tohmahan sedemikian kata Jamaliah hanya menyebabkan rakyat semakin jemu dengan taktik lapuk UMNO-BN yang telah dimainkan sejak lebih 60 tahun.

“Selama 60 tahun UMNO-BN bermain dengan isu perkauman sehingga akhirnya PRU-14 rakyat menjadi penat dengan kebencian yang ditanam ini.

“Rakyat menjadi lelah dengan rasa tidak selamat antara kaum ini. Rakyat sedar, betapa isu perkauman ini boleh diselesaikan dengan semangat muhibah dan persefahaman,” kata beliau.

Di sebalik serangan melulu Lokman terhadap kerajaan Pakatan Harapan, Jamalian mempersoal di mana suara pemimpin UMNO itu berhubung urus tadbir dan dasar-dasar baru kerajaan.

Beliau turut menyindir sikap membisu Lokman ketika tercetusnya krisis pelantikan Menteri Besar Perlis yang telah mengheret institusi Raja ke gelanggang politik.

“Sekiranya betul perhatian Lokman Adam ini adalah terhadap Melayu dan Islam, mana pergi Lokman Adam semasa krisis perlantikan MB Perlis?

“Mana suara Lokman Adam ketika Shahidan Kassim enggan mendengar titah Sultan Perlis dan berdegil mahukan adiknya menjadi Menteri Besar Perlis? Mana pergi Lokman Adam ketika institusi keramat Raja-Raja Melayu ini dicemar dan dirobek oleh orang dalam UMNO-BN sendiri?” soalnya lagi. – Roketkini.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.