Presiden Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI), Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, Lebuhraya Pantai-Timur 2 (LPT2) lengang selepas tol berkuatkuasa.

Beliau berkata, tinjauan yang dilakukan pihaknya mendapati pengguna LPT2 sememangnya memboikot lebuhraya itu.

Tidak kurang juga yang mengaku bahawa mereka tidak pernah sekalipun menggunakan LPT2 semenjak tol dikenakan, kata Faizul.

“Kerajaan negeri dan pusat harus prihatin keadaan ini. Rakyat seolah-olah memberi signal yang jelas bahawa tol yang dikenakan sangat membebankan.

“Perkataan yang lebih sesuai untuk menggambarkan keadaan ini ialah rakyat memboikot penguatkuasaan tol di LPT2,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata pengguna lebuh raya kini sudah beralih ke laluan Jerangau-Jabor dan laluan pantai.

Dalam masa yang sama, Faizul memberitahu beliau mendapat maklumat bahawa Majlis Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Terengganu belum membincangkan lagi rayuan Ahmad Razif selaku Menteri Besar Terengganu kepada kerajaan pusat berkenaan kadar tol.

“Saya kira ini gambaran jelas bahawa Razif hanya bermain kata dan cuba menjadi hero dalam isu ini untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau prihatin terhadap nasib rakyat, padahal tidak ada satu pun tindakan konkrit pun dibuat.

“Saya kira tindakan Razif itu tidak menggambarkan rakyat Terengganu berhak ke atas kemudahan awam yang lebih baik dan percuma hasil dari pendapatan royalti minyak selama berpuluh tahun dari bumi Darul Iman ini.

“Kesimpulannnya, Razif dan UMNO Barisan Nasional harus diganti ke arah mewujudkan Terengganu sejahtera dan lebih bermaruah,” tegasnya.

LEAVE A REPLY