Walaupun tujuannya baik untuk keselamatan, namun harga pelekat pantulan cahaya yang dijual di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi kenderaan perdagangan, dilihat tidak munasabah.

Manakan tidak, pelekat yang wajib dilekatkan pada belakang kenderaaan perdagangan itu dijual dengan harga RM88 oleh syarikat pembekal dilantik, sedangkan ia boleh didapati sekitar RM15 saja di kedai luar.

Perkara itu menyebabkan pemilik kenderaan perdagangan merasa ditipu serta mempertikaikan harga berkenaan, malah tidak percaya ada pihak lain mahu mengaut keuntungan mudah dengan syarat wajib dikuat kuasakan sejak 1 Januari lalu.

Adun Senawang, P. Gunasekaran yang mengutarakan perkara itu berkata, dia menerima banyak aduan daripada pemilik dan pemandu kenderaan perdagangan yang tidak puas hati dengan harga dikenakan.

“Kita akui memasang pelekat itu adalah untuk keselamatan. Tapi harga diletakkan amat tidak munasabah.

“Sejak 20 tahun lalu, kebanyakan pemandu kenderaan perdagangan boleh mendapatkan pelekat itu dengan harga sekitar RM15 sahaja di luar.

“Bagaimanapun, setelah dikuat kuasakan, ia dijual pada harga yang jauh lebih mahal,” katanya pada sidang media di Puspakom Taman Tasik Jaya, di sini, semalam.

Gunasekaran berkata, dalam keadaan ekonomi tidak begitu baik ketika ini, ditambah kenaikan harga minyak dan kos sara hidup tinggi, menaikkan harga pelekat juga menambahkan beban pengusaha kenderaan perdagangan untuk mencari makan.

“Memanglah pelekat itu katanya mengikut kepada piawaian dan diiktiraf Sirim. Malah, besar sedikir daripada dahulu dan nampak lebih jelas. Tapi, kalau nak naikkan harga pun, takkanlah sampai RM88,” katanya.

Sementara itu, pihak Puspakom ketika ditanya Sinar Harian berhubung isu berkenaan berkata, pihaknya akan mengutarakan aduan dihadapi kepada kementerian berkaitan.

“Kita akan mengambil maklum. Cuma, pelekat berkenaan lebih menjamin keselamatan,” katanya.

Difahamkan, pelekat yang dijual di Puspakom diperakui Sirim kerana lebih jelas, sebaliknya pelekat yang dijual di kedai luar dikatakan dikeluarkan dari China dan kurang terang.

LEAVE A REPLY