Kejayaan Mohd Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, disifatkan sebagai ‘Panadol’ kepada prestasi bola sepak tempatan yang hambar ketika ini.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, berkata kejayaan itu bukan sekadar mengharumkan nama negara, tetapi juga pengubat luka kepada sukan bola sepak tempatan yang dipalit pelbagai kontroversi sejak kebelakangan ini.

BACA: Kejayaan Faiz Penanda Aras Bola Sepak Negara – FAM

Katanya, pemain bola sepak di negara ini perlu menjadikan kejayaan penyerang Pulau Pinang itu untuk melonjakkan semangat untuk memperbaiki prestasi masing-masing.

“Pencapaian ini membuktikan sesuatu itu tidak mustahil serta boleh dicapai, dan saya yakin ia bukan saja boleh dicapai oleh Mohd Faiz.

“Pemain bola sepak yang lain mesti bersikap profesional dan melakukan yang terbaik, bukan saja hari-hari sibuk soal nak gaji tinggi tetapi usaha tingkatkan prestasi.

“Bagi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan badan gabungan, kemenangan Mihd Faiz bukan untuk dirayakan, tetapi perlu dijadikan iktibar untuk membawa bola sepak negara ke tahap lebih tinggi,” katanya pada sidang media di ibu Pejabat MARA di sini, hari ini.

Mohd Faiz dipilih sebagai pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, iaitu anugerah bagi jaringan tercantik sepanjang tahun lalu yang diadakan di Zurich, Switzerland semalam atau awal pagi tadi waktu Malaysia.

LEAVE A REPLY