Kejayaan Mohd Faiz Subri dinobat selaku pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membuktikan pemain Malaysia turut mampu berada sebaris dengan pemain antarabangsa.

Jaringan memukau dari pemain tengah Pulau Pinang itu ketika aksi Liga Super menentang Pahang di Stadium Bandaraya, Februari lalu jelas menjadi fenomena dunia dan bagi Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), kejayaan Faiz itu harus dijadikan sebagai sumber inspirasi.

BACA: Kejayaan Faiz Penanda Aras Bola Sepak Negara – FAM

BACA: Kemenangan Faiz ‘Panadol’ Bola Sepak Negara – Annuar Musa

“PFAM mewakili pemain bola sepak profesional berasa amat bangga dengan kejayaan Faiz Subri,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail.

“Kejayaan beliau membuktikan pemain bola sepak di Malaysia mampu bersaing dan berada sebaris dengan pemain-pemain berkelas dunia.

“Jaringan beliau menjadi satu fenomena. Syabas dan terima kasih juga buat penyokong yang terus-menerus memberikan sokongan.

“Semoga kemenangan Faiz ini menjadi inspirasi buat semua rakyat Malaysia untuk terus memberikan yang terbaik buat negara.”

Faiz menewaskan dua lagi calon untuk anugerah berkenaan iaitu pemain Brazil, Johnath Marlone Azevedo da Silva dan Daniuska Rodriguez (Venezuela).

Kini, Faiz berada sebaris nama pemain yang pernah menerima anugerah berkenaan seperti Cristiano Ronaldo (2009), Hamit Altintop (2010), Neymar (2011), Miroslav Stoch (2012), Zlatan Ibrahimovic (2013), James Rodriguez (2014) dan Wendell Lira (2015).

LEAVE A REPLY