Kelab Belia Darul Aman hari ini mencadangkan pemenang Anugerah Puskas FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) 2016 Mohd Faiz Subri dijadikan ikon Transformasi Nasional (TN50).

Pengerusinya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Al Mashri, berkata ia sebagai menghargai kejayaan pemain itu yang disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Kejayaan anak jati Ayer Hitam, Jerlun, itu yang meraih anugerah berprestij perlu dilihat sebagai satu legasi hebat yang bukan mudah dicapai.

“Untuk itu, kami menyarankan agar Faiz Subri dilantik sebagai ikon Transformasi Nasional dan mencadangkan namanya diiktiraf serta diangkat sebagai Duta Muafakat Belia Kedah kerana ini adalah cara terbaik menghargai kejayaannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, beliau turut mencadangkan satu jelajah serata negeri bersama Mohd Faiz di Kedah diadakan untuk memberi ceramah dan berkongsi pengalaman serta menyuntik motivasi kepada belia yang lain.

Katanya menerusi kerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan, beliau mahu belia-belia di negeri itu mencipta kejayaan seperti yang dilakukan Mohd Faiz mengikut minat dan bidang yang diceburi.

“Kita percaya, kejayaan yang diraih Faiz Subri tidak datang bergolek melainkan dengan semangat, usaha dan kegigihan,” katanya.

Pemain Pulau Pinang itu mengetepikan Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil yang meraih 22.86 peratus undi dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez dengan 10.01 peratus undi.

Ia sekali gus meletakkan namanya sebaris dengan pemenang terdahulu seperti bintang tersohor, Cristiano Ronaldo dan Neymar.

LEAVE A REPLY