Polis menahan empat lelaki kerana didakwa memasang kain rentang berunsurkan hasutan dan bersifat perkauman di sekitar Pandamaran di Klang, Selangor.

Antara lain, kenyataan pada kain rentang itu menuduh kaum bukan Melayu tidak menghormati Raja-raja Melayu.

Advertisement

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata dua lelaki berusia 22 dan 24 tahun telah ditahan pada 8 Jun.

Berikutan itu, polis menahan dua lagi suspek berusia 24 dan 47 tahun semalam.

“Polis mengambil tindakan selepas laporan dibuat atas insiden yang berlaku pada 8 Jun. Penguatkuasa dari Majlis Perbandaran Klang telah menurunkan sepanduk berkenaan,” katanya.

Shamsul berkata pihak polis telah memperoleh kebenaran bagi melanjutkan tahanan reman terhadap dua suspek terawal sehingga Khamis manakala dua lagi ditahan reman sehingga Jumaat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Sementara itu, sumber di Majlis Perbandaran Klang berkata salah seorang suspek mendakwa telah diupah oleh orang yang tidak dikenali dan tidak mengetahui apa yang ditulis pada kain rentang tersebut.

“Kain rentang itu menyebut tentang Hindraf dan boleh dibaca daripada sepanduk tersebut,” katanya.

Terdahulu, klip video berdurasi selama dua minit tular di media sosial menunjukkan salah seorang suspek memasang kain rentang di sekitar Jalan Jambu Laut di Klang. Rakaman itu menunjukkan seorang lelaki memarahi salah seorang suspek yang mendakwa tidak tahu apa yang ditulis pada kain rentang itu.

Kain rentang itu memaparkan gambar pemimpin Hindraf 2.0, P Uthayakumar, anggota parlimen DAP Tony Pua dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Antara lain, slogan pada kain rentang tersebut berbunyi “Jangan Perlekeh Raja-Raja Melayu. Daulat Tuanku”, “Hindraf Jangan Biadap!! Jangan Persoal Hak Ketuanan Melayu dan “Pendatang Jangan Terlampau Sangat! Jangan Main Dengan Api”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.