Polis siasat Nizar bawah Akta Hasutan

Polis Johor berkata bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin akan disiasat di bawah Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan berkenaan bidaan nombor pendaftaran WWW 1 oleh Sultan Johor.

Polis Johor menubuhkan satu pasukan petugas untuk menyiasat selepas lima laporan dibuat di negeri itu berhubung perkara berkenaan sejak semalam.

Laporan The Star menyebut, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengesahkan bahawa pasukan petugas telah memulakan siasatan.

“Kami akan menyiasat perkara ini secara telus dan profesional. Marilah kita menjalankan tugas tanpa sebarang tekanan yang tidak wajar untuk memastikan keadilan dilakukan untuk kedua-dua pihak,” katanya.

Kelmarin, Nizar mengkritik mengenai bidaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar untuk mendapatkan WWW 1, menerusi akaun Twitter beliau.

Sultan Johor membida nombor itu pada harga RM520,000.

Ketua Penerangan Umno Johor, Datuk Samsul Bari Jamali menambah, Nizar sepatutnya perlu meneliti fakta sebelum membuat sebarang komen.

Beliau berkata, kerabat diraja Johor sentiasa bermurah hati untuk menderma kepada Yayasan Iskandar dan Yayasan Ibrahim bagi membantu pembangunan negara dan memperbaiki hidup rakyat.

Dalam mesej Twitter lewat kelmarin, Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim bertitah mempertahankan pembidaan nombor pendaftaran WWW 1 oleh ayanda baginda Sultan Johor sambil menegaskan, kerabat diraja Johor tidak mengambil sebarang wang daripada kerajaan.

“Kerabat diraja Johor tidak ambil wang kerajaan. Sejak era Almarhum Sultan Ibrahim,” titah baginda menerusi mesej Twitter lewat semalam.

Baginda juga bertitah bahawa pihak-pihak yang mempertikaikan perkara itu boleh bertanya kepada Menteri Besar Johor ataupun mana-mana pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Dalam mesej itu, baginda juga bertitah bahawa wang yang diperuntukkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail dan baginda sendiri dimasukkan ke dalam Yayasan Iskandar dan Yayasan Ibrahim.

“Tujuan yayasan-yayasan ini ialah untuk membantu rakyat dan untuk membantu Kerajaan Negeri Johor,” kata Tunku Ismail sambil menambah, baginda sendiri, sejak menjadi Raja Muda, tidak mengambil “satu sen pun daripada kerajaan, sehingga ke hari ini.”

Laman web jabatan Pengangkutan Jalan (www.jpj.gov.my) semalam mengatakan Sultan Ibrahim sebagai pemenang dan mengalahkan 9998 orang yang membida no plat WWW1 dengan tawaran kemenangan sejumlah RM520,000.

Leave a Reply

Your email address will not be published.