Polis Perak sudah menjalankan siasatan berhubung dakwaan pencabulan seksual di sebuah sekolah Maahad Tahfiz Darul Barakah di Ipoh yang dimiliki seorang penceramah bebas terkemuka.

Ketua Polis Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, setakat ini 10 individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk pelajar, pengadu dan pengurusan maahad tahfiz berkenaan.

“Saya menyatakan di sini memang ada laporan dibuat. Pihak polis sedang menjalankan siasatan dan sepuluh statement ataupun rakaman percakapan telah pun dibuat dan pihak polis akan teruskan siasatan itu yang saya dapat bagi tahu dan kita akan lengkapkan secepat mungkin,” katanya pada Majlis Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Polis Diraja Malaysia Negeri Perak di ibu pejabat Kontinjen Polis Perak di Ipoh pada Rabu.

Rahim diminta mengulas mengenai berita yang tersebar di laman sosial mengenai beberapa orang pelajar baharu di maahad tahfiz berkenaan yang dikatakan dicabul selain berlaku seks luar tabii.

Menurut Abdul Rahim lagi, kes tersebut disiasat mengikut seksyen 377E iaitu merangsang seorang kanak-kanak (di bawah 14 tahun) untuk melakukan sesuatu perbuatan kelucahan melampau yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pihaknya telah membuat lawatan ke maahad tahfiz berkenaan beberapa hari lalu dan pegawai JAIPK telah menemuramah beberapa pelajar.

Beliau memberitahu, walaupun berdaftar dengan JAIPK, namun urusan pentadbiran dan pengambilan pelajar dikendalikan sepenuhnya maahad berkenaan.

LEAVE A REPLY