Keterujaan rakyat Malaysia mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) terbukti menerusi ribuan posting di laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter sejak awal pagi Rabu.

Kebanyakan netizen mengambil kesempatan untuk memuat naik gambar dakwat di jari bagi menzahirkan lunasnya tanggungjawab terhadap negara.

Namun, antara yang paling menarik ialah posting seorang pengguna Facebook, Matilda NY yang berkongsi foto seorang anggota polis kacak di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Bukit Indah, Johor Bahru.

“Elok sangat ni, pertama kali nampak dia masa tengah beratur panjang kat belakang. Muka serius pun tetap elok.

“I kan bawa payung and snack bagai, tumpang la letak kat meja dia, jadi dapatlah bercakap sikit, tak sombong orangnya, lagilah manis,” tulisnya pada posting itu.

Matilda, 33, sewaktu dihubungi mStar Online menjelaskan dia tidak menyangka posting itu akan tular dan menarik perhatian ramai.

Jelasnya, perkongsian itu turut menyebabkan dia menerima banyak mesej di laman Facebook yang cuba berkongsi maklumat mengenai anggota polis berpangkat Lans Koperal itu.

“Saya suka-suka je post gambar tu, kalau tak tension je semua orang waktu pilihan raya macam ni. Pada waktu itu, anggota polis tu pun tak perasan saya ambil gambar dia.

“Lepas tu, ramai pula yang hantar mesej di Facebook yang berkongsi info mengenainya,” ujarnya.

Menurut Matilda, dia terserempak dengan anggota polis berkenaan sekitar pukul 11.30 pagi.

Setelah beratur dari tingkat dua ke tingkat tiga, dia sekali lagi bertemu anggota polis itu sebelum masuk ke bilik mengundi.

Sehingga kini, perkongsian itu menerima lebih 5,000 tanda suka dan sudah dikongsi hampir 3,000 pengguna Facebook.

Malah, rata-rata netizen turut memuji ketampanan wajah anggota polis itu dengan komen-komen berunsur jenaka di posting berkenaan.

“Alhamdulillah, sejuk mata memandang dan hilang lenguh kaki,” tulis Nurhaslinda Mohd Suffian.

“Alang-alang pergi mengundi, terjumpa jodoh pulak kan,” tulis seorang lagi pengguna Facebook.

Dalam pada itu, posting tular berkenaan turut dikongsi oleh laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Polis).

“Terima kasih saudari Matilda sudi memberi ‘posting’ penghargaan kepada petugas #PRU14, Lans Koperal Abang Syukrizul Hafiz Abang Abdillah dari Balai Polis Bukit Indah, Johor yang berketerampilan segak dan tidak lekang dengan senyuman walaupun sedang bertugas.

“Kami begitu hargai di atas ucapan, kata-kata positif yang diberikan oleh anda kepada warga kerja kami,” tulis pengendali akaun rasmi berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.