SHAH ALAM – Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sokongan terbuka PAS kepada BN tidak akan menjejaskan peluang parti itu untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos depan.

Beliau berkata ketetapan yang dibuat parti Islam itu tidak akan menjejaskan sokongan pengundi terhadap calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni atau lebih mesra digelar Ustaz Zawawi yang ternyata mempunyai keilmuan dalam agama untuk menarik sokongan pengundi.

“Saya rasa (sokongan terbuka PAS terhadap calon BN) tidak (jejaskan peluang PKR menang PRK Sungai Kandis). PRK ini adalah antara UMNO dan PKR.

“PAS boleh menyokong mana-mana calon…tetapi calon kami mempunyai kelayakan ustaz yang akan menarik pengundi untuk memberi sokongan bagi mengekalkan kerusi PKR,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis minum petang bersama pengundi dan jentera PKR di Bilik Gerakan PKR di sini hari ini.

Anggota Majlis Syura Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali semalam dilaporkan meminta pengundi PAS di Sungai Kandis untuk memilih calon BN Datuk Lokman Noor Adam pada PRK itu selepas mendakwa kerajaan Pakatan Harapan tidak menegakkan serta menjaga agama Islam.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan pengundi supaya tidak berasa selesa dengan mengambil keputusan tidak keluar mengundi pada PRK tersebut kerana beranggapan PKR akan menang mudah.

“Apa yang UMNO buat adalah katakan tidak perlu keluar mengundi mereka (PKR) sudah menang, jangan terperangkap dengan dakyah begitu, kalau UMNO kata jangan percayalah, itu biasalah sebab dia adalah seteru kita.

“Ini kerana yang masuk dalam PRK ini ialah UMNO dan Keadilan (PKR) jadi kita mesti keluar bagi sokongan penuh dan padu untuk calon kita kali ini,” katanya yang turut mempelawa pengundi muda, mewakili 40 peratus pengundi di DUN Sungai Kandis untuk keluar mengundi pada PRK kali ini.

PRK DUN Sungai Kandis merupakan PRK pertama selepas pilihan raya umum ke-14, 9 Mei lepas, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Selain Lokman, Mohd Zawawi turut ditentang calon Bebas, K. Murthy.

— BERNAMA

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.