Bekas ketua pemuda Umno Wilayah Persekutuan berkata, sekiranya ahli PKR mahukan kesenangan dan projek, mereka perlu memilih gandingan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pemilihan PKR yang akan datang.

Sebaliknya, kata Razlan, jika ahli PKR memilih Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden yang kini disandang Azmin, mereka akan “menggigit jari”.

“Rafizi akan menemui jalan sukar (dalam pemilihan PKR) kerana beliau di kenali dengan karektor yang tidak membantu orang bawahnya.

“Rafizi bukan melayan orang bawah dengan wang ringgit atau projek, sama wataknya dengan (bekas menteri besar Selangor) Tan Sri Khalid Ibrahim, yang akhirnya digulingkan kerana gagal memberi projek kepada anggota PKR.

“Begitulah politik, sekiranya mereka mahukan projek dan kesenangan dalam hidup, perwakilan akan memilih Azmin sebagai timbalan presiden dan Anwar sebagai presiden.

“Sekiranya mahukan Rafizi, mereka akan gigit jari melihatkan kekayaan dimiliki oleh kroni PKR yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razlan berkata demikian sebagai mengulas kemungkinan pertembungan antara Rafizi dan Azmin dalam pemilihan PKR September ini.

Untuk rekod, ketika ini hanya Rafizi yang sudah mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan presiden.

Manakala Azmin, yang belum lagi mengesahkan mempertahankan jawatan timbalan presiden yang disandangnya, turut dispekulasikan akan mencabar Anwar bagi jawatan presiden PKR.

Dalam kenyataan itu juga, Razlan turut mengulas konflik dalaman PKR yang turut menyaksikan peletakan jawatan pemimpin Pemuda parti itu dengan dakwaan ‘kronisme dan nepotisme’ terjadi dalam pelantikan ahli majlis di Selangor.

Jelas Razlan pemimpin PKR sudah lama lari dari perjuangan Reformasi kerana “berebut harta” dan budaya politik wang kini “sudah menjadi budaya PKR”.

Malah, tambahnya, politik wang di dalam Umno terjadi ketika Anwar dan Azmin bersama Umno.

“Pada waktu itu, Azmin merupakan setiausaha sulit kanan beliau (Anwar), kroni melalui beliau (Azmin) untuk mengaturkan pelbagai permintaan dan urusan.

“Nak cakap isu politik wang di dalam Umno, orang yang mengamalkan politik wang sudah lama keluar dari Umno dan budaya itu sudah menjadi budaya di dalam PKR pula.

“Jadi Rafizi jangan nak kaitkan Umno dengan kealpaan dan kerakusan pemimpin PKR,” katanya.

Pemilihan PKR akan bermula pada penghujung Ogos dan nama calon perlu diserahkan pada 27 Julai hingga 29 Julai.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.