Kuala Kangsar – Petugas Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (PROPEL) ditemui mati di dalam surau di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Tol Kuala Kangsar dipercayai akibat serangan jantung, hari ini.

Dalam kejadian 2.40 petang, mangsa Abd Manaf Mat Isa, 53, ditemui terbaring di atas sejadah. Dipercayai kejadian berlaku ketika dia sedang menunaikan solat zuhur.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Kangsar dan hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca daripada serangan jantung.

Difahamkan jenazah dibawa ke kampung halamannya di Taman Berkat, Kampung Dew, Simpang untuk pengkebumian.

Adik ipar serta rakan sejawat mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui berkata, arwah abang iparnya yang tinggal berdekatan rumahnya disifatkan seorang pendiam dan kuat berahsia.

“Daripada apa yang rakan sekerja arwah beritahu, dia meninggal dunia ketika duduk Tahiyat sewaktu solat zuhur tengah hari tadi.” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar ketika ditemui mengesahkan kejadian serta punca kematian mangsa.

LEAVE A REPLY