Pesakit leukimia tahap empat, Muhammad Ramadhan Alias, 20, yang mendapat tajaan menunaikan umrah, meninggal dunia di Madinah pada 11.30 pagi Sabtu (waktu Malaysia).

Muhammad Ramadhan yang tiba di Madinah kira-kira tiga hari lalu bagi menunaikan ibadah umrah bersama ibunya Siabah Yaacob, 57, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Al-Ansar, Madinah.

BACA: ‘Bila Sakit Gini, Baru Aku Kenal Tikar Sejadoh’

Kakak Allahyarham, Maryam Fatinah Alias, 30, yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama berkata jenazah Allahyarham adiknya dikebumikan di kota Madinah selepas solat jenazah di Masjid Nabawi.

“Ketika dihubungi, ibu juga menyatakan beliau reda dengan pemergian (Muhammad) Ramadhan dan akan meneruskan ibadah umrah hingga selesai sekali gus melakukan ibadah umrah buat arwah,” katanya.

Beliau berkata antara permintaan akhir Allahyarham adiknya adalah agar barangan peribadi miliknya seperti telefon bimbit dan jam tangan diserahkan kepada anak saudaranya.

Allahyarham Muhammad Ramadhan dan ibunya berlepas dari Kuala Terengganu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ke Madinah Rabu lalu menaiki pesawat MH8000.

Arwah diramal mempunyai harapan hidup dalam tempoh empat bulan dan melahirkan hasrat untuk menunaikan umrah bersama ibunya.

Hasratnya itu ditunaikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, yang bersetuju membiayai pakej perjalanan dua beranak terbabit manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, melalui Biro Kebajikan Umno Malaysia (BKUM) bersetuju membiayai perbelanjaan sepanjang mereka menjalani ibadah tersebut.

LEAVE A REPLY