KUALA LUMPUR: Kunjungan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, menunjukkan parti itu bersikap matang dan berjiwa besar.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata kunjungan itu menunjukkan parti itu sedia menjadi pembangkang yang membina dan bertanggungjawab.

“Saya bersyukur dan menyokong kunjungan itu. Lagi pun, UMNO harus menghormati institusi Perdana Menteri, malah individunya (yang menjadi Perdana Menteri) juga.

“Ia juga menandakan UMNO hormat pada suara rakyat. Pertemuan tidak semestinya ada apa-apa dan kalau pun ada, tidak semestinya tidak baik.

“Yang pasti UMNO mesti menerima hakikat kita kalah. Kita kini pembangkang, dan kita mesti bersiap memainkan peranan kita sebagai pembangkang secara tegas, berani, bijaksana dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kunjungan Ahmad Zahid ke Putrajaya hari ini, untuk bertemu Dr Mahathir, sekali gus mencetuskan pelbagai persepsi mengenai pertemuan itu.

Ahmad Zahid yang memuatnaik gambarnya dengan Dr Mahathir menerusi Twitter berkata, kunjungan itu dilakukan sempena bulan Ramadan dan mengharap pertemuan itu memberi kebaikan kepada semua.

Sementara itu, Annuar turut menegaskan UMNO perlu kembali kepada asas perjuangannya, selain memohon maaf kepada rakyat atas segala kelemahannya.

“UMNO sebagai satu wadah politik tetap luhur dan murni. Kotoran, jika ada, adalah kelemahan individu dan mungkin juga organisasi.

“Kelemahan boleh dan mesti diperbaiki,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.