Barisan Nasional (BN) menyertai pilihan raya umum ke-14 bersama 13 parti yang berada dalam gabungan itu.

Namun hanya dalam tempoh sebulan sejak kekalahannya pada 9 Mei, gabungan itu kini hanya tinggal empat parti.

Ditubuhkan pada tahun 1973, BN merupakan inisiatif perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein bagi menyatukan parti pemerintah dan pembangkang selepas tragedi hitam rusuhan kaum pada 1969.

Bagaimanapun, BN kini musnah di tangan anak lelakinya yang juga perdana menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak.

Najib sebelum ini bertegas mengetuai BN walaupun dibelenggu skandal 1MDB melibatkan berbilion ringgit dan digambarkan sebagai ‘kleptokrasi paling buruk’.

Pada 9 Mei lalu, BN kehilangan kuasa untuk kali pertama dalam tempoh 61 tahun sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

BN Sabah

Menjelang pilihan raya umum ke-14, BN Sabah terdiri daripada Umno dan parti berasaskan negeri iaitu PBS, PBRS, Upko dan LDP.

Sejurus selepas kekalahan BN di peringkat negeri dan persekutuan di Sabah, Upko menjadi parti pertama mengumumkan keluar dari BN.

Parti itu kemudian bergabung dengan Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah (WARISAN), memberi mereka majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri Sabah yang baru.

Langkah ini kemudian diikuti oleh LDP, PBS dan PBRS yang memutuskan keluar dari BN dan meninggalkan Umno sebagai satu-satunya komponen utama gabungan itu di Sabah.

Sekumpulan besar anggota Dewan Undangan Negeri dari Umno juga keluar dari parti itu untuk menyertai PBS dalam usaha membangunkan “imej tempatan”.

Sementara itu, PBS bersekutu dengan Star, satu lagi parti pembangkang, untuk membentuk Gagasan Bersatu.

Semua ini berlaku dalam minggu pertama kekalahan BN. Apa yang masih tinggal dalam BN Sabah ialah Umno yang semakin lemah dan beberapa parti berasaskan semenanjung.

MCA dan Gerakan walaupun bertapak di Sabah, tetapi tidak pernah dianggap sebagai anggota teras BN di negeri itu.

BN Sarawak

Berbeza dengan Sabah, BN Sarawak keluar dari gabungan itu secara tersusun dengan kesemua komponen negerinya masih utuh.

Di bawah pimpinan ketua menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Openg, PBB, SUPP, PRS dan PDP mengumumkan keluar daripada gabungan itu hari ini.

Empat parti mengumumkan mereka kini akan membentuk gabungan kerajaan yang dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Johari berkata gabungan itu akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan iaitu Pakatan Harapan tetapi akan membentuk bloknya sendiri dan kekal di pihak pembangkang di Parlimen.

BN di Semenanjung Malaysia

Satu-satunya parti yang tinggal dalam BN ialah Umno, MCA, MIC dan Gerakan. Perbalahan berlaku dalam MyPPP apabila presidennya Datuk M Kayveas mengumumkan pada 19 Mei bahawa parti itu keluar dari BN.

Bagaimanapun, ahli majlis tertinggi yang lain mempertikaikannya, menyebabkan status sebenar MyPPP dengan BN kini menimbulkan tanya.

Sementara MCA, MIC dan Gerakan masih kekal di bawah BN, pada masa ini, mereka membayangkan akan mengkaji semula kedudukan dalam gabungan itu.

Umno yang merupakan parti utama dalam BN kini hanya memiliki beberapa rakan dan mungkin perlu mencari sekutu baru.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.