Seorang wanita warga emas ditemui mati dalam keadaan terikat di kaki, tangan dan mulut dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kampung Kuala Gris, Dabong, Kuala Krai awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi, mangsa, Rohani Musa, 60, yang juga seorang ibu tunggal ditemui di ruang tamu oleh anak lelaki berusia 35 tahun.

Anak lelakinya pulang ke rumah selepas menonton bola di kedai berhampiran kediaman tersebut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, dalam kejadian tersebut, sebuah motosikal jeniz Yamaha RXZ milik anak mangsa serta barang kemas dan dompet milik mangsa turut dilarikan penjenayah.

“Terdapat kesan bengkak pada belakang kepala mangsa namun tiada senjata yang ditemui dalam rumah mangsa yang dihuni dua beranak itu.

“Menurut anak mangsa, sebaik dia tiba di rumah, pintu dapur rumahnya terbuka luas sebelum mendapati motosikal yang disimpan di ruang tamu lesap,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, penduduk kampung mendakwa sebelum kejadian berkenaan mereka melihat dua lelaki yang tidak dikenali menunggang motosikal berhampiran rumah mangsa.

Tambahnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

LEAVE A REPLY