MUAR: “Ketika nyenyak tidur, saya tiba-tiba terasa macam ada hentakan. Saya buka mata dan melihat penumpang lain terpelanting ke hadapan bas”.

Demikian cerita Norazah Hendri, 20, penumpang yang terselamat dalam kemalangan maut membabitkan bas ekspres dan dua kenderaan berat di Kilometer 142 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Pagoh, di sini, hari ini.

Norazah berkata, dia bersama kakak kembarnya, Norizah dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Tanjung Malim, Perak, untuk menghadiri sesi temu duga di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada pagi esok.

“Saya naik bas di Terminal Bas Larkin dan kakak saya turut menemani ke sesi temu duga. Bagaimanapun, kami tidak duduk bersama kerana saya di depan manakala kakak duduk di belakang.

“Kakak saya, Norizah hanya cedera ringan pada mulut dan dagu,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar di sini, hari ini.

Dalam nahas jam 1.15 tengah hari tadi, seorang pemandu dan dua penumpang bas ekspres maut selepas bas dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori kontena dan lori tangki di kawasan berhampiran persimpangan Plaza Tol Pagoh.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu lori kontena parah pada pinggang, manakala 22 penumpang bas yang lain cedera ringan. Kelindan lori dan tiga penumpang lain, terselamat.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.