KUALA LUMPUR: UMNO membidas tindakan kerajaan yang didakwa menggunakan taktik ugutan terhadap penjawat awam yang bertentangan parti dengan pelbagai cara, sekali gus bertentangan dengan harapan rakyat yang mahukan kerajaan yang bersih.

Unit Komunikasi Strategik UMNO dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu tidak pernah berlaku ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan demokrasi dalam berpolitik bagi penjawat awam.

“Nampaknya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad mula menampakkan ciri-ciri diktatornya apabila menteri mula mengugut penjawat awam dengan pelbagai cara.

“Timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan semua penjawat awam di seluruh negara agar menyokong kepemimpinan PH atau kemungkinan dikenakan tindakan, termasuk buang kerja.

“Menteri Hal-Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula mengugut ketua dan pegawai agensi kerajaan yang disyaki melakukan salah laku agar meletak jawatan atau disingkir,” katanya.

UMNO menegaskan ketika ia mentadbir negara, hak menyokong mana-mana parti di luar BN amat dihormati, asalkan penjawat awam bertugas mengikut atur kerja yang digariskan untuk mereka, iaitu berkhidmat kepada rakyat.

“UMNO melihat perkembangan itu dengan penuh gusar dan rakyat yang berkhidmat dengan kerajaan tidak ada pilihan selain menjadi ahli PH supaya ‘dapur mereka berasap’.

“Inikah bentuk demokrasi dan hak individu yang dilaungkan PH selama ini? Adakah selepas ini mereka akan mensyaratkan semua pemohon jawatan awam perlu disiasat latar belakang politik mereka sebelum diterima bekerja.

“Selepas ribuan kakitangan kerajaan dibuang kerja selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, adakah mereka juga akan membuang hampir separuh kakitangan awam yang menyokong atau menjadi ahli parti lain, termasuk UMNO?

“Adakah kakitangan berpakaian seragam seperti polis dan tentera yang mengundi BN pada PRU-14 akan dikenakan tindakan disiplin dan buang kerja?,” katanya.

UMNO turut mempersoalkan sama ada tindakan itu adalah cara halus Dr Mahathir untuk mengecilkan perkhidmatan awam, serta menjimatkan kos kerajaan atau taktik ugutan bagi menakutkan rakyat, khususnya mereka yang mengundi BN.

“Adakah dalam tempoh lima tahun akan datang PH menumpukan kepada tindakan mencari kelemahan silam, menghukum orang dan mewujudkan ‘political barrier’ untuk kakitangan awam?

“Sungguh menyedihkan. Ia sudah mula berlaku, dan rakyat patut menyedarinya dari sekarang. Belang sebenar PH kelihatan cukup jelas sekarang. Sama-sama kita doakan agar slogan mereka untuk membela rakyat akan diterjemahkan pelaksanaan sebaliknya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.