“Yang sebenarnya, semua yang di dalam pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah mereka yang tidak bertanggungjawab. Semuanya mangkuk hayun.”

Itu kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani yang kesal apabila isu kegagalan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu akhirnya terpaksa digalas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ini sebenarnya berkaitan bisnes dan apabila dalam bisnes, sudah tentulah ada jawatan-jawatan penting untuk menggerakkan bisnes tersebut.

“Mereka semua dibayar gaji yang besar dan sepatutnya tahu menjalankan operasi bisnes seperti yang diharapkan.

“Kalau bisnes bagus, sudah pastilah orang-orang berjawatan ini akan mendabik dada tetapi bila dah lingkup, tak ada pula yang nak bertanggungjawab sehingga Najib yang terpaksa menghadapi semua permasalahan,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras di sini.

Menurut Johari, kelemahan pihak pengurusan adalah punca kepada kegagalan 1MDB.

“Sekarang ni, kita tunggulah siasatan yang dibuat oleh semua pihak yang terlibat baik dalam mahupun luar negara.

“Jangan buat spekulasi atau andaian yang belum tentu ada kebenarannya selagi hasil siasatan belum dikeluarkan,” ujarnya.

Sambil menolak tuduhan pihak tertentu yang mengatakan beliau cuba melindungi kesalahan Najib, Johari berkata, maruahnya lebih penting daripada melindungi orang yang bersalah.

“Saya tahu Najib tak bersalah selagi belum ada bukti yang mengatakan beliau bersalah.

“Bukan sebab beliau Perdana Menteri tetapi saya tahu apa yang dilakukan oleh beliau semuanya benar belaka dan saya dan semua ahli UMNO wajar mempertahankan beliau,” katanya.

LEAVE A REPLY