PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan telah mengambil tindakan menarik balik permit mengajar bagi dua guru terlibat dalam kejadian penderaan murid di tadika swasta di Melaka seperti yang tular serta dilaporkan media semalam.
Kementerian dalam satu kenyataan memberitahu, langkah penarikan permit itu adalah bagi memastikan mereka tidak lagi mempunyai sebarang interaksi dengan murid dan bertugas di tadika berkenaan.
“Pihak pengusaha turut diberi amaran keras berkaitan kecuaian dalam pengoperasian mengendalikan pendidikan kepada kanak-kanak dalam kohort umur lebih empat dan lebih lima tahun.
“Kementerian mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka untuk memantau pengurusan dan pengoperasian tadika semasa sesi pembelajaran berlangsung,” kata kenyataan tersebut di sini hari ini.
Kejadian tersebut jelas kenyataan berkenaan, telah berlaku di Tadika Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK) Seri Bijak Bestari 3, Taman Tasek Utama, Ayer Keroh, Melaka melibatkan dua orang guru yang didakwa bertindak kasar ke atas empat orang murid.
Tadika tersebut merupakan sebuah tadika swasta yang berdaftar dengan kementerian, katanya.
Menurut kenyataan itu, pada 11 Ogos lalu kes berkenaan telah dilaporkan kepada pihak polis dan kementerian menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut ke atas guru-guru terbabit.
“Kementerian amat memandang serius terhadap kejadian penderaan terbabit,” katanya. – UTUSAN ONLINE