Seorang pencuri tergamam apabila dijatuhkan seorang yang berbikini. Rupa-rupanya wanita itu anggota polis Sweden yang sedang berjemur.

Lelaki itu mencuri telefon ketika Mikaela Kellner dan rakannya, yang dicuri telefon, sedang berjemur di sebuah taman di Stockholm, lapor Daily Mail kelmarin.

Semasa mereka sedang berjemur di taman tersebut, seorang lelaki datang dengan berpura-pura menjual majalah untuk golongan gelandangan.

Selepas berlalu perbualan dengan lelaki itu, seorang daripada rakannya baru menyedari telefon bimbitnya telah lesap.

“Saya hanya bertindak mengikut naluri dan tidak fikir banyak sehinggalah dia direbahkan,” kata Kellner, yang tidak bertugas saat itu, kepada The Local Sweden seperti dipetik.

“Apabila saya duduk di situ dan melihat kawan saya yang bukan pegawai polis, baru saya tersedar gelagat saya itu nampak lawak.

“Saya tetap akan bertindak tidak kira apa pakaian saya. Jika dalam keadaan bogel sekali pun, saya akan campur tangan. Tiada apa yang boleh menghalang saya.”

Kellner, pernah menyertai rancangan lasak di televisyen negaranya “Swedish Ninja Warrior”, berkhidmat sebagai pegawai polis hampir 11 tahun.

Pencuri itu dilaporkan berjaya melarikan telefon selepas meletakkan longgokan majalah di atasnya dan kemudian mengutipnya ketika mahu meninggalkan kumpulan wanita terbabit.

“Dalam masa yang singkat itu, saya berlari mengejarnya, mungkin 15 meter atau lebih,” ceritanya lagi.

“Seorang lagi kawan saya juga anggota polis, jadi kami berjaya menangkapnya.”

Kedua-dua polis wanita itu merebahkan lelaki itu di atas tanah sehingga rakan mereka yang bertugas tiba dan menahan pencuri tersebut.

Gambar mereka bergelut dengan pencuri itu menjadi viral selepas dimuatkan di Instagram, mendapat lebih 6,000 ‘like’ dalam satu hari.

LEAVE A REPLY