Bekas pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris men­jalani hukuman gantung sampai mati pada waktu subuh hari ini atas kesalahan membunuh peng­analisis maklumat, Canny Ong Lay Kian (gambar), kira-kira 13 tahun lalu.

Jurucakap Jabatan Penjara mengesahkan hukuman itu dilaksana­kan pada kira-kira pukul 6 pagi di Penjara Kajang dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang, dekat sini.

Pada 21 Oktober 2009, Ahmad Najib gagal memperoleh kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk menyemak sa­bitan dan hukuman mati terhadapnya.

Mahkamah Per­sekutuan berpuas hati bahawa fakta kes itu cukup kuat untuk mensabitkan Ahmad Najib, 40, atas kesalahan membunuh Canny Ong, 29.

Ahmad Najib gagal me­nge­tepikan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Ting­gi Shah Alam, Selangor pada 23 Februari 2005 dan keputusan Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Per­sekutuan terdahulu yang me­ngekalkannya.

Selain hukuman mati, mahkamah mengekalkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan se­batan 10 kali kerana merogol mangsa.

Dia melakukan kedua-dua perbuatan itu antara pukul 1 dan 5 pagi, 14 Jun 2003 di Batu 7, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya.

LEAVE A REPLY