Ayer Keroh – Seorang pembantu tadbir didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas menukar pengakuan bersalah menumbuk muka bekas suaminya, Mei tahun lalu.

Majistret Norina Maludin memerintahkan Raihana Anuar, 30, menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan menumbuk muka bekas suaminya yang berusia 33 tahun di sebuah rumah di Taman Datin Fatimah, Bukit Rambai, kira-kira jam 8 malam, pada 16 Mei 2016.

Raihana didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Azri Zakaria meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Faiezad Razali, memohon hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya dengan alasan perlu menanggung dua anak berusia empat dan lima tahun, selain berpendapatan RM1,700 sebulan.

Selepas mendengar rayuan dan hujah kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh didenda RM600.

LEAVE A REPLY