Pelakon dan pelawak Along (Cham) melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya, penyanyi Zila (AF4) kira-kira pukul 10.40 pagi Isnin.

Lafaz berkenaan dibuat Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 33, di hadapan Hakim Syarie, Abdul Halim Abu Samah di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam.

Along selaku plaintif kes berkenaan memfailkan permohonan perceraian itu pada Isnin mengikut Seksyen 47, Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Terdahulu, Zila atau nama sebenarnya Nur Azilah Seeron, 28, yang hadir bersama peguam syarie, Nurul Aini Yusoff dilihat cuba bersalaman dengan suaminya namun ditolak lelaki itu.

Along pula yang tiba sejak 8.40 pagi di mahkamah dilihat tenang bersama peguamnya, Roshdan Sujak Rafie.

Pasangan selebriti itu berkahwin pada Januari 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ahmad Danial yang kini berusia lima tahun.

Media sebelum ini melaporkan, isteri seorang pelawak ditangkap oleh sepasukan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam kejadian pada 13 Ogos 2016 selepas dipercayai berkhalwat dengan seorang lelaki di Bukti Jalil, dekat sini.

Semasa serbuan dibuat, wanita berkenaan ditemui bersembunyi di belakang almari dalam sebuah bilik.

LEAVE A REPLY