Jenayah

Pelajar Tingkatan 1 ‘barai’ dirogol 11 lelaki bergilir-gilir

By Faizul Lazim

September 27, 2018

TAIPING – Seorang pelajar 13 tahun dirogol 11 orang secara bergilir-gilir di Kamunting, sejak minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, polis berjaya menangkap sembilan daripada suspek,berusia 15 hingga 17 tahun, selepas menerima laporan mangsa, semalam.

“Kejadian pertama berlaku pada 18 September lalu apabila mangsa bersama rakannya dijemput suspek ke sebuah rumah di Kampung Kurnia Jaya dengan menaiki motosikal sebelum dirogol empat lelaki.

Kejadian kedua berlaku keesokan harinya membabitkan lapan lelaki di lokasi sama.

“Kejadian itu berlarutan pada kelmarin di Taman Tekkah Permai, Aulong sebelum dirogol tiga lelaki yang sama.

Kejadian itu disedari oleh guru sekolah semalam yang menasihatkan mangsa dan ibu bapa untuk buat laporan polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek, empat daripada mereka pelajar ditahan dalam beberapa serbuan sekitar Kamunting dan Taiping antara jam 9 hingga 11.30 malam.

“Semakan rekod mendapati tiga suspek mempunyai rekod dalam kejadian rogol, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan menyebabkan kecederaan dengan senjata.

“Kesemua tangkapan yang kini direman sehingga 2 Oktober depan untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohamad berkata, gerakan dijalankan bagi mengesan dua lelaki yang dikenali sebagai Hadi dan Boya yang masih bebas bagi membantu siasatan.