Seorang pelajar menerima 14 jahitan pada pipi kiri selepas ditumbuk lebih empat kali oleh seorang lelaki “gila seks” pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi, Rochell Wayne Ubong, 20, terkejut apabila didatangi lelaki yang tiba-tiba menunjukkan kemaluan di rumahnya di Taman Tanjung Puteri Resort di sini.

Pelajar Politeknik Mersing itu, yang masih trauma, baru sahaja meletakkan kenderaan di depan rumahnya sewaktu kejadian, lapor Kosmo!.

“Selepas keluar dari kereta, seorang lelaki berumur dalam lingkungan 30 tahun tiba-tiba meluru ke arah saya dan bertindak membuka seluar sambil menunjukkan kemaluannya,” katanya.

“Saya menjerit sekuat hati sebelum ibu dan bapa saya yang pada ketika itu sedang tidur di dalam rumah tersedar.”

Tambahnya, lelaki terbabit juga cuba merampas beg tangannya menyebabkan berlaku pergelutan sebelum menumbuk mukanya bertubi-tubi dan kemudian melarikan diri.

Ketua polis daerah Seri Alam berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun dan menyebabkan kecederaan.

“Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu memberi kerjasama atau menyalurkan maklumat melalui talian 07-38 64 222,” katanya.

LEAVE A REPLY