Gerak hati Shafie Adil, 85, untuk mencari cucunya di dalam masjid berjaya menemukan Siti Fatimatuzzahrah Bumidin, 25, yang dilapor hilang selepas keluar dari rumah sewanya di Taman Permai di sini Isnin lalu.

Pesara Keretapi Tanah Melayu dari Ipoh, Perak ini yang datang ke sini semalam setelah mendapat berita tentang kehilangan cucunya itu, menemukan cucunya di dalam Masjid An Nur di sini pada 2 petang tadi.

Pelajar tahun akhir jurusan perubatan ini yang sedang menjalankan latihan di Hospital Sibu ditemukan sedang membaca al-Quran.

“Saya dan anak perempuan saya telah dibawa di sekitar bandar Sibu untuk mencari cucu saya. Hati saya kemudian tergerak untuk cuba mencarinya di masjid,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Sentral Sibu.

Kariah masjid dan petugas Pusat Aktiviti Warga Emas Masjid An Nur itu yang pernah melihat kelibat seseorang tidur masjid itu semalam telah membawa Shafie ke dalam masjid di mana Fatimatuzzahrah ditemukan.

Saat ditemukan itu, pelajar tersebut enggan bercakap tetapi dalam keadaan menangis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Martin Khoo mengesahkan Fatimatuzzahrah berada dalam keadaan selamat, cuma didapati terlalu tertekan dengan peperiksaan yang sedang dihadapinya.

Fatimatuzzahrah kemudiannya dibawa ke Hospital Sibu untuk diperiksa sebelum diserahkan kepada anggota keluarganya tersebut.

Di Ipoh, bapanya Bumidin Tahir, 51, berkata beliau telah dihubungi anggota polis Sibu mengenai penemuan anaknya itu kira-kira 2.25 petang tadi.

“Datuk dan mak ciknya bertolak ke sana semalam dan mereka menemui Fatima di dalam sebuah masjid dalam keadaan letih,” katanya sambil melahirkan rasa syukur kerana tiada perkara buruk menimpa anaknya.

Beliau berkata sebelum itu beliau menerima berita tentang kehilangan anaknya daripada Segi College, tempat anaknya belajar yang memberitahu bahawa anaknya tidak menghadiri peperiksaan pada Isnin lalu.

“Sepanjang kehilangannya, saya sentiasa berdoa semoga dia selamat dan naluri hati saya mengatakan yang tidak ada apa-apa perkara buruk yang berlaku dan dia berada dalam keadaan selamat,” katanya

Pembantu Hal Ehwal Islam di Masjid Negeri Perak ini berkata kejadian itu merupakan pertama kali berlaku ke atas anaknya dan beliau percaya anaknya menghilangkan diri kerana mengalami tekanan dalam pelajarannya.

“Dia tidak ada masalah kewangan, tetapi dia mungkin rungsing dan tidak boleh belajar. Dia adalah orang yang sentiasa mahu lakukan sesuatu dengan cemerlang,” katanya sambil menambah anak sulung daripada tujuh beradik itu kali terakhir pulang ke Ipoh ialah pada Aidilfitri lepas.

Menurut Bumidin, beliau akan bertolak ke Sarawak bersama isterinya Hazila Shaffii, 48, esok untuk melihat keadaan anak mereka itu.

Siti Fatimatuzzahrah sebelum ini melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Mesir selama empat tahun sejak 2009, sebelum kembali menyambung pengajian dalam negeri di Segi College, Damansara.

Dia menjalani pembelajaran dan latihan industri di Hospital Sibu sejak tahun lalu.

Kehilangannya itu dilapor rakan-rakan serumahnya kepada pihak polis petang semalam.

LEAVE A REPLY