Suasana dalam mahkamah menjadi tegang apabila seorang tertuduh membuat kecoh selain turut melemparkan kata-kata kesat ekoran tidak berpuas hati dengan jaminan yang ditawarkan.

Terdahulu, tertuduh yang juga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Segamat, Mohd Nazrin Abdullah, 37, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menakutkan secara jenayah kepada birasnya pada 21 September lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazrin dituduh melakukan perbuatan itu sambil menunjukkan sebilah parang panjang dengan niat menyebabkan kegetaran kepada Mohammad Faris Ngatiman.

Kesalahan telah dilakukan di dalam rumah beralamat Lot 17 B, Kampung Parit Jarum Tengah, Bukit Gambir, di sini pada jam 7.10 pagi dan bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh memperuntukkan penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Maslinda Selamat.

Terdahulu, prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Harlina Mohd Aidil yang meminta mahkamah agar tidak menawarkan sebarang jaminan dan menarik pas perjalanan antarabangsa terduduh dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukannya adalah berat selain mendapat kecaman hebat masyarakat selepas kisah rumahtangganya menjadi viral di laman sosial.

Bagaimanapun, tertuduh memohon mahkamah membenarkannya diikat jamin dengan jumlah yang rendah berikutan dia masih mempunyai masih tanggungan dua anak dan perlu mendapatkan rawatan di hospital selain bercadang untuk menunaikan umrah tidak lama lagi.

Harlina dalam hujahnya kemudian menambah, sekiranya mahkamah memutuskan membenarkan tertuduh diikat jamin, beliau mencadangkan wang jaminan adalah sebanyak RM 15,000 dengan dua orang penjamin selain tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa.

Sejurus itu, Maslinda kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua orang penjamin selain diarah lapor diri di ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dua minggu sekali.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 November nanti untuk sebutan semula kes.

LEAVE A REPLY