PUTRAJAYA – Seorang pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) Selangor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menerima rasuah tiket penerbangan serta penginapan hotel bagi percutian ke Eropah.
Menurut sumber, suspek wanita yang berusia 50 tahun itu dipercayai menerima tajaan daripada beberapa syarikat untuk dirinya iaitu tiket kapal terbang dan penginapan hotel bagi percutian selama 10 hari ke London dan Paris antara Mac hingga April 2014.
Suapan tersebut ialah bagi menyokong proses permohonan Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Mara yang dipercayai mengandungi butiran palsu kepada Pengarah Mara negeri.
Beliau ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya jam 3.00 petang selepas dipanggil untuk memberi keterangan, hari ini .
SPRM turut menahan seorang suspek dipercayai bersubahat dengan pegawai Mara berkenaan yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Kedua-dua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan Sekyen Kuala Lumpur esok bagi pendakwaan mengikut Seksyen 17 (a), Seksyen 18 dan Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009, Seksyen 165 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).