Timbalan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Supt Mohd Senu Mohd Nor meninggal dunia selepas selesai bermain badminton di gelanggang IPK pada Selasa malam.

Ketua Polis Melaka Datuk Ramli Din berkata mangsa berusia 49 tahun yang tidak sedarkan diri selepas rebah dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira 8 malam.

Beliau berkata mangsa sebelum itu dilaporkan sedang berehat selepas selesai bermain badminton pada 6.20 petang sebelum rebah.

“Allahyarham baru dua bulan bertugas di IPK Melaka dan sebelum ini merupakan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Kedah.

“Allahyarham telah berkhidmat selama 28 tahun dan saya mengenali arwah sejak beliau berkhidmat di IPK dua bulan lepas, dan beliau merupakan pegawai yang rajin dan komited terhadap tugas,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka malam ini.

Beliau berkata Mohd Senu yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan merupakan seorang yang pendiam tetapi mudah mesra dengan orang sekeliling.

Katanya, Allahyarham sebelum ini dilaporkan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan atau mempunyai penyakit kronik dan punca kematian setakat ini disahkan sebagai mati mengejut, sehingga proses bedah siasat selesai.

Ramli berkata Allahyarham meninggalkan seorang isteri yang merupakan seorang guru Suraya Jusoh, 42, dan tiga anak berusia lima hingga 19 tahun.

Beliau berkata jenazah Mohd Senu akan dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Seribong di Pasir Tumboh, Kota Bharu malam ini.

“IPK Melaka akan membantu proses penghantaran jenazah Allahyarham ke Kota Bharu pada malam ini, dan akan dibantu anggota polis di Kelantan,” katanya.

LEAVE A REPLY