KUALA LUMPUR: Dianggarkan antara RM10 juta hingga RM50 juta wang rasuah dipercayai diterima beberapa pegawai kanan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jumlah itu membabitkan kelulusan kontrak lesen pembalakan beberapa syarikat dalam tempoh 10 tahun hingga 15 tahun yang keseluruhannya dianggar bernilai antara RM100 juta hingga RM150 juta.

Sumber SPRM berkata, wang rasuah itu bukan sekadar membabitkan kelulusan kontrak pembalakan, sebaliknya pelbagai kontrak lain diluluskan jabatan itu.

Katanya, jumlah wang rasuah itu besar kerana membabitkan tempoh lama iaitu antara 10 hingga 15 tahun.

“Jadi, siasatan kita bukan sekadar memberi fokus kepada pegawai di jabatan berkenaan, sebaliknya kepada beberapa syarikat yang mendapat kontrak pembalakan berkenaan.

“Malah, siasatan dijalankan juga menjurus kepada beberapa kelulusan terhadap kontrak lain diuruskan jabatan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber itu berkata, susulan siasatan dijalankan, semalam, SPRM mengadakan serbuan serentak di beberapa lokasi sekitar Sabah.

Katanya, serbuan dijalankan kira-kira 40 pegawai itu bermula pada jam 9.30 pagi sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.

“Dalam serbuan itu, kita merampas beberapa dokumen dari rumah seorang pegawai kanan JPS yang terletak di Sandakan.

“Dokumen yang dirampas seperti dokumen jabatan perhutanan serta dokumen kewangan syarikat yang memperoleh projek daripada JPS sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan mengenai siasatan serta serbuan berkenaan yang dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sebelum ini, SPRM sudah mengambil keterangan beberapa pegawai kanan JPS termasuk keterangan bekas Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Sam Mannan yang menamatkan perkhidmatannya selepas diberi notis tiga bulan penamatan perkhidmatannya berkuatkuasa 1 Ogos lalu.

Notis penamatan perkhidmatan Sam Mannan yang ditandatangani setiausaha negeri Suruhanjaya Perkhidmatan Awam itu ekoran siasatan besar-besaran dijalankan SPRM terhadap kegiatan pembalakan haram di Sabah.

Malah, sebelum ini juga SPRM sudah menjalankan tiga serbuan serentak terhadap tiga syarikat pembalakan di Tawau dan Sandakan ekoran kegiatan pembalakan haram di negeri terbabit.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.