Dah mula naik tocang ! Mabuk dalam kuasa baru. Dulu mereka perjuangkan hak kebebasan bersuara, boleh berbeza pendapat dan mengkritik kerajaan. Bila dah jadi kerajaan, mula tunjuk taring dan menyergah sana sini. Ermmm, tidak ku rasa gerun walau guruh berdentum dentam.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menganggap kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang sudah semakin melampau, terutama ketika berdepan dengan pengkritik mereka.

Kata bekas anggota parlimen Temerloh itu, jika sebelum ini PH memperjuangkan hak kebebasan bersuara, kini gabungan terbabit bertindak sebaliknya.

Malah kata Nasrudin pemimpin kerajaan mula menunjukkan sifat sebenar mereka selepas berkuasa.

“Dah mula naik tocang! Mabuk dalam kuasa baru,” katanya melalui kemas kini hantaran di Facebook.

Mengiringi kenyataan itu ialah pautan kepada berita disiarkan Malaysiakini semalam.

Laporan itu memetik pandangan seorang wakil rakyat PKR mengenai kenyataan Nasrudin berhubung pelantikan individu bukan Islam mengisi tempat penting dalam sektor perundangan negara.

Mula sergah sana-sini

Menurut Gooi Hsiao Leung tiada tempat untuk pemimpin PAS seperti Nasrudin di negara ini kerana mengamalkan budaya politik agama dan perkauman.

Kata anggota dewan undangan negeri Bukit Tengah di Pulau Pinang itu Nasrudin ada “niat yang jelas untuk menyemai kebencian kaum dan agama” di negara ini dengan membuat kenyataan mengenai pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara dan Liew Vui Keong sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri di bahagian undang-undang.

“Ini adalah menyalahgunakan kebebasan bersuara, menyalahi undang-undang dan kata-katanya yang berniat jahat mesti dikutuk sekeras-kerasnya.

“Tiada asas untuk mengatakan tokoh-tokoh yang dihormati itu akan berprasangka atau bertindak secara tidak adil terhadap umat Islam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” kata Gooi.

Baca Umat Islam terlepas mulut harimau, dilibas ekor buaya?

Menurut Nasrudin selepas memperoleh kuasa PH kini tidak lagi membenarkan pihak yang tidak sependapat dengan mereka menyatakan pandangan.

“Apabila dah jadi kerajaan, mula tunjuk taring dan menyergah sana-sini.

“Ermmm, tidak kurasa gerun walau guruh berdentum-dentam,” katanya bersemangat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.