Seramai 16 wanita warga Vietnam dipercayai menawarkan perkhidmatan urutan seks ditahan dalam Ops Gegar oleh Jabatan Imigresen Johor di sebuah premis urutan refleksologi di Taman Sri Tebrau di sini, kelmarin.

Serbuan kira-kira jam 10.46 malam itu, disertai 12 anggota yang turut membuat pemeriksaan ke asrama pekerja premis berkenaan berhampiran pusat urut itu.

Pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan sudah beroperasi selama lebih enam bulan dan turut menawarkan pakej urutan dan seks pada harga RM198.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Johor, Masri Adul berkata, seorang lelaki tempatan turut ditahan dalam operasi itu selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

“Lelaki berkenaan turut disyaki melanggar peraturan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

“Semua wanita yang ditahan berusia antara 18 hingga 38 tahun didapati bekerja di premis berkenaan tanpa permit sah,” katanya.

Katanya, 15 daripada wanita yang ditahan didapati menjadi mangsa Seksyen 44 Akta Atipsom selain turut melakukan kesalahan bawah Seksyen 56(1)(i) dan 6(1)© Akta Imigresen 1959/63.

“Manakala seorang lagi wanita warga Vietnam disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 12 Akta Atipsom 2007 dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Setia Tropika untuk tindakan lanjut,” katanya.

LEAVE A REPLY