Michael Phelps mengalami kekalahan pertamanya dalam temasya Rio 2016 apabila ditewaskan perenang sensasi Singapura, Joseph Schooling, yang memberikan persembahan memukau untuk memenangi pingat emas 100 meter kuak kupu-kupu pada Jumaat.

Sudahpun bergelar Olimpian terhebat dalam sejarah, Phelps sekali lagi mengukir sejarah pada Khamis apabila meraih kemenangan dalam acara 200m rampaian individu, menyaksikannya menjadi atlet renang pertama memenangi acara individu yang sama sebanyak empat kali.

Bagaimanapun, jaguh berusia 31 tahun itu gagal mengulangi kejayaannya pada 2004, 2008 dan 2012 dalam 100m kuak kupu-kupu, sebaliknya berkongsi tempat kedua dengan dua perenang lain — juara dunia dari Afrika Selatan, Chad Le Clos dan Laszlo Cseh dari Hungary — di belakang Schooling yang mencatat rekod Olimpik 50.39 saat.

Ketiga-tiga pemenang tempat kedua itu berkongsi catatan 51.14 saat.

Schooling, yang turut menewaskan Phelps dalam saringan, kini muncul selaku pemenang pingat emas Olimpik yang pertama buat Singapura sesudah pertunjukan memukaunya dalam memenangi acara itu.

LEAVE A REPLY