Selepas memenangi pingat perak dalam acara 3 meter papan anjal, penerjun China, He Zi dikejutkan dengan lamaran kekasihnya di atas podium.

Atlet berusia 25 tahun itu dilamar kekasihnya, Qin Kai yang juga rakan sepasukannya.

Qin dilihat melutut sebelum menunjukkan kotak berisi cincin pertunangan kepada He Zi.

He Zi yang kelihatan terkejut menutup mulutnya sebelum Qin menyarung cincin di jarinya.

Qin kemudiannya menunjukkan isyarat bagus kepada penonton yang hadir menyaksikan upacara penyampaian pingat itu.

“Kami sudah bercinta selama lebih enam tahun. Saya tidak tahu dia akan melamar saya pada hari ini dan tidak menduga saya akan menamatkan zaman bujang seawal ini.

“Dia berkata banyak perkara di atas podium tentang janji, tetapi perkara yang menyentuh hati saya adalah saya fikir lelaki inilah yang boleh saya percayai seumur hidup saya,” katanya.

Malah, Qin yang memenangi pingat gangsa dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki turut menghadiahkan bakal isterinya bunga ros dalam gelas kaca.

Ia adalah lamaran kedua di Sukan Olimpik Rio selepas pengumuman pasangan sejenis, pemain ragbi Brazil Isadora Cerullo dan teman wanitanya, Marjorie Enya pada Isnin lalu.

LEAVE A REPLY