Peguam Mohd Haniff Khatri Abdullah hari ini menasihatkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Amar Singh dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Fuzi Harun tidak terlalu mendedahkan butiran terperinci kepada orang ramai, mengenai rampasan mengejutkan pasukan itu dari hartanah berkait dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun menyedari kepentingan rakyat Malaysia dan mungkin juga dunia dalam mendapatkan maklumat terkini mengenai siasatan itu, namun beliau berkata integriti siasatan sebelum dibawa ke mahkamah turut perlu dilindungi.

“Maka, semua pihak disarankan, tunggulah untuk pemberian keterangan dan penampilan bahan bukti di mahkamah kelak.

“Agar butiran lengkap siasatan yang akan menjadi bahan bukti ataupun keterangan di mahkamah tidak didedahkan dengan terperinci di media awam sebelum perbicaraan, bagi tujuan menentukan bahawa tiada percanggahan dalam kenyataan awam kini, dengan keterangan yang kemudian hari akan dibangkitkan di Mahkamah,” katanya.

Haniff memaklumkan tiada keperluan untuk mendedahkan secara terperinci nilai sebenar barangan yang telah disita itu.

Minta Peguam Negara keluar arahan rasmi

“Secara terus terang dinyatakan, tidak ada keperluan untuk didedahkan akan nilai barangan yang telah dirampas itu kepada orang awam dengan sebegitu terperinci…

“…kerana nilai barangan tersebut mestilah diberi butiran lengkap di mahkamah melalui saksi-saksi pakar itu sendiri,” katanya.

Beliau juga meminta Peguam Negara Tommy Thomas untuk mengeluarkan arahan rasmi mengenai perkara ini.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk syorkan kepada Peguam Negara Tommy Thomas agar satu kenyataan rasmi berkaitan perkara ini dikeluarkan dengan serta-merta kepada kesemua pihak berkuasa,” katanya.

Haniff yang juga peguam jenayah berkata hal ini penting kerana butiran terperinci yang dibuat oleh polis boleh mengundang perbicaraan oleh media.

Najib baik diam

Peguam itu juga mencadangkan Najib supaya lebih baik menutup mulutnya daripada yang mengulas mengenai nilai barang-barang yang dirampas itu.

“Najib Rasak sedang gali kubur sendiri dalam percubaan untuk menyanggah kenyataan pihak berkuasa melalui kenyataan awam beliau itu, kerana kepelbagaian percanggahan kenyataan Najib Razak kini, dengan kenyataan semasa Najib Razak berkuasa, akan menjadi “senjata utama” pihak pendakwa…” katanya.

Semalam, Amar Singh pada sidang akhbar yang diadakan khusus telah menyenaraikan jumlah barangan yang disita dan nilai anggaran barang-barang yang dirampas dalam serbuan polis di hartanah berkait Najib.

Sementara itu, Najib dalam temuramah eksklusif di pejabat Malaysiakini mempersoalkan penilaian polis dan menyatakan barangan berkenaan merupakan hadiah yang diberikan kepada beliau dan isterinya, Rosmah Mansor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.